Coolify: Self-Hosting Tanpa Sakit Kepala
Apa yang aku belajar selepas setahun uruskan 8 projek atas satu VPS — termasuk 6 kesilapan yang aku buat sendiri
Aku bukan DevOps
Biar aku mulakan dengan pengakuan: aku tak ada latar belakang DevOps. Aku tak tahu apa itu Kubernetes masa mula. Aku belajar Docker sebab satu build mati dan aku terpaksa faham kenapa.
Tapi hari ini, semua projek aku berjalan atas satu VPS 8GB yang aku uruskan sendiri, dengan Coolify sebagai lapisan atas. Bukan sebab aku nak jadi sysadmin. Sebab alternatifnya — bayar satu managed platform untuk setiap projek — tak masuk akal bila kau ada lapan projek dan separuh daripadanya belum hasilkan duit.
Artikel ni bukan tutorial pemasangan. Ia cerita apa yang aku belajar selepas setahun guna, termasuk lubang yang aku jatuh masuk.
Apa Coolify buat, dalam satu ayat
Coolify ialah dashboard untuk Docker yang faham Git.
Kau sambung repo GitHub, dia pull, build, jalankan container, urus SSL, dan tunjuk log. Benda yang biasanya kau taip dalam terminal selama dua jam, dia buat dalam satu klik — atau automatik bila kau push.
Yang penting: ia bukan platform berbayar. Ia software yang kau jalankan atas server sendiri. Jadi kos bulanan kau = kos VPS sahaja.
Kenapa aku pilih self-host, bukan Vercel untuk semua
Sebenarnya aku guna dua-dua. Ini bukan pilihan ideologi, ini pilihan kos dan keperluan.
Vercel untuk static dan Next.js ringkas. Push, siap. Tiada server untuk difikir. Percuma untuk projek kecil.
Coolify untuk yang perlukan VPS sebenar. Bila projek kau perlukan:
— Container yang jalan 24 jam (Evolution API untuk WhatsApp, n8n untuk workflow)
— Postgres yang kau nak backup sendiri
— Redis untuk queue
— WebSocket yang perlu state kekal
Vercel tak bagi benda-benda ni. Bukan sebab ia teruk — ia memang direka untuk serverless. Kalau kau paksa serverless buat kerja yang perlukan process kekal, kau akan menangis.
Enam perkara yang aku belajar dengan menyakitkan
1. Jangan stop service guna docker stop
Ini kesilapan pertama dan paling memalukan.
Aku nak jimat RAM, jadi aku taip docker stop postiz melalui SSH. Container mati. Dua minit kemudian ia hidup balik.
Puncanya: Coolify ada watchdog yang pastikan setiap service yang sepatutnya jalan, jalan. Kalau kau matikan dari luar, ia anggap itu crash dan restart.
Betul: stop dari UI Coolify. Baru ia tak dilawan.
2. Edit .env sahaja tak ubah apa-apa
Aku ubah satu env variable n8n untuk prune execution data. Simpan. Restart. Tiada perubahan.
Selepas sejam barulah aku faham: container tu guna env_file: .env dalam docker-compose. Env dibaca masa container dicipta, bukan masa ia dimulakan. Restart tak baca semula fail.
Betul:
docker compose up -d --force-recreate
Bukan restart. force-recreate.
3. Build cache boleh makan 7GB tanpa kau sedar
Disk naik 10GB dalam satu hari. Aku ingat ada log yang membengkak atau container yang menulis sampah.
Rupanya build cache. 7.346GB, 93 entries, sifar aktif.
Setiap kali Coolify build, ia simpan layer untuk build seterusnya lebih laju. Bagus untuk kelajuan. Tapi kalau kau push 40 kali dalam seminggu (macam aku masa kejar bug), ia terkumpul jadi sampah.
Betul: semak docker system df setiap kali disk naik mendadak. Kalau build cache besar dan semua reclaimable, buang:
docker builder prune -f
Aku buat ni semasa VPS dalam keadaan kritikal dan dapat balik 7GB dalam masa tiga puluh saat.
4. Build mati senyap biasanya bukan salah kod
Build gagal dengan exit 255. Log tunjuk ia mati dalam next build selepas ~52 saat. Tiada error message. Tiada stack trace. Cuma berhenti.
Kod yang sama lulus pada laptop aku.
Puncanya bukan kod. Puncanya RAM. Turbopack dalam Next.js 16 makan RAM lebih banyak dari yang VPS 8GB boleh bagi bila empat container lain sedang berjalan.
Betul: bila build mati senyap tanpa error, semak RAM dan swap dulu, bukan kod. Kalau swap penuh, itu jawapannya.
5. Verify deployment kena tengok chunk yang betul
Aku push fix, deploy kata berjaya, tapi perubahan tak nampak.
Sebabnya: aku grep string baru dalam bundle, tapi aku grep dalam chunk yang salah. Next.js pecahkan app jadi banyak chunk. Chunk login tak sama dengan chunk dashboard. Aku jumpa string lama dalam chunk yang memang tak sepatutnya berubah, dan ingat deploy gagal.
Betul: cari string yang unik pada page yang kau ubah, dan sahkan ia ada dalam chunk yang load untuk page itu. Atau lebih mudah — buka page, hard refresh, tengok sendiri.
6. API token akan expire, dan kau akan lupa
Aku setup satu automation yang guna Coolify API untuk monitor deployment. Ia berjalan selama sebulan. Kemudian senyap.
Token expire. Semua request pulang 401. Tiada notifikasi, tiada amaran — automation cuma berhenti buat kerja.
Betul: apa-apa automation yang guna token, kena ada semakan yang akan lapor bila ia gagal, bukan cuma bila ia berjaya.
Apa yang aku tak buat, dan tak akan buat
Satu — auto-deploy untuk semua branch. Auto-deploy hanya pada main. Branch lain manual. Sebab kalau setiap branch deploy, VPS kau akan build sepuluh versi app yang tak pernah dilihat orang.
Dua — monitoring berlapis. Aku tak pasang Prometheus, Grafana, Loki, atau apa-apa stack observability. Untuk skala aku, ia lebih banyak kos (RAM) dari manfaat. Aku guna docker stats bila ada masalah, dan uptime check ringkas untuk servis kritikal.
Tiga — Kubernetes. Tidak. Satu VPS dengan Docker Compose dah cukup untuk lapan projek. Kubernetes selesaikan masalah yang aku tak ada.
Nasihat paling jujur
Kalau kau baru mula dan tak ada latar DevOps: jangan mula dengan Coolify.
Mula dengan satu VPS, satu Dockerfile, satu docker compose up. Faham dulu apa itu image, container, volume, dan network. Sebab Coolify sembunyikan semua tu — dan bila sesuatu rosak, kau takkan tahu apa yang rosak.
Baru lepas kau faham asas, pasang Coolify. Masa tu ia jadi alat yang mempercepat kerja, bukan kotak hitam yang kau takut sentuh.
Dan satu lagi: tulis down semua command yang kau guna untuk fix sesuatu. Bukan dalam kepala. Dalam fail. Sebab enam bulan kemudian, kau akan hadap masalah yang sama dan kau takkan ingat apa yang kau buat.
Aku ada satu fail bernama TOOLS.md. Ia menyelamatkan aku lebih banyak kali dari apa-apa dokumentasi rasmi.